Bekas banduan rogol adik kandung dipenjara 12 tahun, 5 sebatan
2012/02/22
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Fadilah Nor Wan Idris di sini, hari ini. Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu.Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan.Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor. Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah.
Dia didakwa secara paksa merogol adik perempuannya yang berumur 24 tahun di belakang sebuah rumah di Kuala Besut pada jam 10.30 malam, 10 Februari lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengugut mangsa dengan sebilah pedang dengan tujuan menakutkan mangsa supaya tidak membuat laporan polis bersabit kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.